Adab Anak dalam Bermasyarakat

Photo by Charlein Gracia on Unsplash

Sedarkah anda bahawa manusia hari ini semakin hilang adab dalam bermasyarakat? Anak-anak kecil hari ini jarang sekali diingatkan untuk beradab dalam bercakap dan berhadapan dengan orang yang lebih tua. Ada yang mengajuk, mencebik, mempersenda malahan memekik kepada ibu bapa sendiri mahupun orang lain. Peliknya ada ibu bapa yang menganggap perbuatan seperti ini lucu sedangkan ianya cerminan corak didikan ibu bapa itu sendiri.

Mendidik adab dalam jiwa anak-anak hari ini merupakan cabaran besar bagi semua ibu bapa. Kadangkala sudah molek didikannya di rumah, namun anak-anak terdedah pula dengan rakan-rakan dan persekitaran yang berbeza. Justeru menjadi kewajipan setiap ahli masyarakat untuk sama-sama memastikan adab di kalngan naka-anak dipraktis sebaiknya.

Pada tahun 2013, Readers Digest pernah melaporkan Kuala Lumpur sebagai negeri ke 34 daripada 36 yang ‘kurang sopan’ di dunia. Ini memberikan persepsi yang negatif berkaitan nilai dan adab masyarakat di Malaysia. Justeru, satu pendekatan bersifat menyeluruh adalah perlu dalam mengembalikan nilai dan adab yang tinggi yang mana ianya cukup sinonim dengan masyarakat kita.

Anak-anak ini ibarat kain putih, coraknya perlu cantik dan menarik. Namun, bagaimana untuk menghasilkan corak yang menarik? Anak-anak ini perlu dididik, ditegur dan dimaklumkan apa yang baik. Pujian harus diberikan atas setiap perkara baik, namun yang buruk wajib diberi teguran. Adab dengan ibu bapa, adik beradik, keluarga, jiran, guru serta masyarakat sekeliling bermula dengan sebaik-baik adab ibu bapa dengan anak-anak di rumah.

Janganlah kita hanya menjadi ahli masyarakat yang menilai tanpa menyumbang. Tegurlah dan caknalah akan pembangunan sikap dan adab anak-anak kita. Ingatlah wahai ibu bapa, anak-anak kecil memang comel semuanya, sifatnya indah, namun bukan semua perlakuannya itu juga comel untuk dipamer. Bimbang sekiranya bila tidak ditegur maka akan jadi kebiasaan. Bila sudah terlalu biasa maka akan jadi ibarat buluh, sukar lagi dilentur.

Pengarang: adeezaf

--

--

Puteri Fadzline Muhamad Tamyez
The Beautiful Chaos of Life

Trying to make the best of this short trip before the final destination