Berpantang: Tradisional atau Moden?

Setiap bakal ibu pasti mempunyai banyak persoalan menjelang ketibaan cahaya mata seperti tanda-tanda bersalin, hospital terbaik yang sesuai dipilih untuk bersalin, tabiat tidur bayi, penyusuan bayi dan banyak lagi. Dengan begitu banyak keputusan yang perlu dibuat, ada segelintir bakal ibu yang kurang menitikberatkan tentang kebajikan diri sendiri selepas bersalin iaitu amalan berpantang.

Terdapat pelbagai cara untuk berpantang selepas bersalin samada secara tradisional mahupun moden. Mengikut adat kaum Melayu, amalan berpantang mengambil masa 44 hari, 60 hari dan 100 hari.

Antara aktiviti berpantang yang terkenal adalah rawatan mandian haba, berbengkung, bertungku, mengurut, memakai stokin dan pakaian tebal dan elak daripada melanggar ibu jari kaki.

Amalan berpantang kaum Cina dan India juga tidak kurang hebatnya. Antara adat kaum India dalam penjagaan ibu dan anak adalah penggunaan minyak sapi atau minyak kelapa untuk mengurut ibu dan bayi, dan nasi kanji dalam pemandian bayi.

Herba Cina seperti ginseng dan dong quai pula lazimnya digunakan dalam adat berpantang Cina untuk membantu badan pulih selepas bersalin. Bukan itu sahaja, makanan yang amat digalakkan untuk digunakan dalam amalan berpantang kaum Cina adalah halia tua, minyak bijan, lada hitam, wain dan cuka hitam.

Namun begitu, dengan masyarakat moden hari ini, adakah wanita masih cenderung untuk berpantang secara tradisional?

Populariti berpantang secara tradisional dilihat semakin meningkat dan turut menjadi tumpuan artis; antaranya Datuk Sri Siti Nurhaliza, Hanis Zalikha, Liana Jasmay dan ramai lagi. Adat tradisional berpantang ini menjadi lebih rancak dengan penyediaan perkhidmatan penjagaan secara berpakej yang menawarkan harga berpatutan.

Walaupun adat berpantang ini terkenal dan diamalkan secara turun-temurun, terdapat juga sebilangan ibu muda yang lebih gemar berpantang secara moden. Ini kerana semakin ramai ibu muda yang bekerjaya merasakan amalan ini dilihat sukar dan membebankan.

Sebilangan doktor perubatan juga berpendapat ada perkara yang tidak wajib dilakukan. Antara contohnya adalah hanya minum air yang sedikit selepas bersalin. Menurut mereka, ini tidak benar kerana ini akan menyekat bekalan susu bagi keperluan bayi.

Mengurut juga perlu dalam amalan berpantang. Namun, tujuan mengurut untuk membuang angin adalah tidak benar dari perspektif perubatan. Tidak wujud angin dalam urat saraf atau saluran darah dalam badan. Malah, mengurut ini adalah untuk mengelakkan varicose vein, dimana saluran darah vena harus membawa darah dari kaki ke jantung.

Saya berpendapat lakukanlah amalan berpantang secara bersederhana tanpa mengabaikan kesemua amalan berpantang secara tradisional. Paling utama adalah sokongan moral dan emosi, terutamanya perhatian daripada pihak suami agar si ibu dapat fokus dalam penjagaan bayi dan tidak memudaratkan kedua-dua kesihatan ibu dan bayi.

--

--

Puteri Fadzline Muhamad Tamyez
The Beautiful Chaos of Life

Trying to make the best of this short trip before the final destination