Sikit-Sikit Nak Marah!

Photo by Icons8 team on Unsplash

Sejak akhir-akhir ini ramai orang kelihatan mudah marah. Pantang tercuit pasti melenting. Terkadang hanya terlanggur bahu, riak muka masam terpamer sambil mulut tak henti mengomel. Adakah kita perlu mengenalpasti punca kemarahan atau punca kegagalan mengawal kemarahan?

Seringkali masyarakat hari ini digemparkan dengan pelbagai kejadian yang berpunca dari kemarahan sepertimana yang berlaku kepada Syed Muhammad Danial, Muhammad Adib dan Muhammad Farhan yang akhirnya membawa kepada kematian.

Kegagalan mengawal kemarahan akan menjejaskan corak pemikiran dan seterusnya mempengaruhi tindakan sehingga membawa kepada kehancuran. Cuba bayangkan berapa ramai anak-anak hari ini yang menjadi mangsa kemarahan ibu bapa disebabkan oleh tekanan kerja dan persekitaran. Anak-anak ini akan belajar dan seterusnya mewarisi sifat amarah. Ini akan menjejaskan persepsi orang luar terhadap masyarakat Malaysia yang selama ini terkenal dengan santunnya.

Pelbagai pendekatan telah diutarakan oleh pakar-pakar dalam mengawal kemarahan. Amalan teknik ‘pause’antara yang menjadi saranan kerana ianya akan merasionalkan tindakan kita. Benarlah, diam itu lebih baik dari berkata-kata. Ini kerana teknik ‘pause’ akan mendorong kita untuk diam dan berfikir sebelum bertindak.

Belajarlah menahan marah dan semuanya akan lebih indah. Jiwa akan lebih tenang dan semua di sekeliling akan menjadi lebih senang. Masyarakat yang terbina hasil persekitaran yang positif akan menghasilkan corak pemikiran yang lebih matang dan gemilang.

Pengarang : adeezaf

--

--

Puteri Fadzline Muhamad Tamyez
The Beautiful Chaos of Life

Trying to make the best of this short trip before the final destination