5 Sebab Kenapa Perlu “Move On”

Melissa Muklis
4 min readJul 4, 2016

--

“Moving on is hard”. Ya, move on adalah satu perkara yang senang diungkap namun sukar dipraktikkan bagi kita yang merasakannya. Bukan mudah melupakan segala kenangan yang ada, bukan mudah merawat kesan luka yang masih tersisa dan bukan mudah untuk kita bangkit semula setelah jatuh terhempas pecah ibarat serpihan kaca. Namun, adakah pilihan lain yang kita ada selain terus melangkah? Ya, pastinya ada yang memberikan seribu satu alasan kenapa sukar hendak ‘move on’. Tapi renungkan kembali, perlukah dirimu masih berpaut pada ranting yang rapuh?

1. ‘Past is Past’

Masih kuatkah hati ini untuk menangung luka dan derita? Pastinya tidak, sudah tentu tidak. Justeru kenapa masih dibelenggu masa lalu? Tinggalkanlah semuanya. Buka matamu, sayang! Jangan terlalu merenung kisah silam sehingga dirimu terlupa dihadapanmu itu, lebih jauh perjalanan yang harus dilalui. Palingkan wajahmu ke hadapan dan melangkahlah walau perlahan. Yakinlah bahawa bahagia itu ada. Ya, tidak salah sesekali memandang ke belakang kerana di situlah letaknya sisa-sisa memori yang pernah membawa kebahagiaan. Namun ubah presepsi dirimu terhadap kenangan itu, jadikan ianya sebagai satu pengalaman yang perlu diambil pengajaran. Belajarlah dari kesilapan.

2. Masa Untuk Menyayangi Diri Sendiri

Belajarlah menyayangi diri sendiri sebelum menyayangi orang lain. Menyayangi diri sendiri bukan bererti mementingkan diri. Tidak sama sekali. Namun, seringkali diri ini terlupa untuk menjaga hati sendiri dalam kesibukan menjaga hati insan lain sehingga akhirnya hati sendiri yang tidak terjaga. Jangan, sayang. Jangan pernah lupa bahawa dirimu sangat beharga. Simpan sedikit rasa kasih itu untuk dirimu. Ketahuilah bahawa parut luka di hatimu itu hanya dirimu yang dapat melihatnya, hanya dirimu yang tahu penawarnya dan hanya dirimu yang dapat merawatinya. Lalu bangkitlah, carilah penawar itu, rawatlah luka di hatimu dan jangan pernah biarkan parut itu berdarah kembali.

3. Bahagia Itu Ada Di Mana-mana

Tidak dapat dinafikan kebahagiaan yang pernah kita lalui itu lebih indah rasanya. Namun adakah dirimu pasti itulah kebahagiaan yang sebenarnya? Jika ya, kenapa kini dirimu terluka? Jika ya, kenapa dirimu kini dalam kesedihan dan berteman air mata? Justeru, ketahuilah itu hanyalah kebahagiaan pinjaman sementara, hanya ujian semata-mata. Kebahagiaan yang seharusnya kita cari ialah kebahagiaan yang bersifat selamanya dan kebahagiaan itu ada di mana-mana tapi bukan di belakangmu, sayang. Jangan letakkan kebahagiaanmu hanya pada dirinya. Jika dia adalah kebahagiaanmu, kenapa dia membuatmu terluka? Pelbagaikanlah sumber kebahagiaanmu. Mungkin ada pada kerjayamu, hobi dan minatmu, keluarga dan sahabatmu malah dalam apa jua perkara sekalipun. Carilah dan yakinlah bahawa kebahagiaan itu ada.

4. Berpeluang Ditemukan Dengan Yang Lebih Baik

Sekiranya dirimu masih menanti cinta yang hilang itu untuk berputik kembali, tentu saja dirimu terlepas untuk menemui insan-insan yang lebih baik yang jauh lebih menghargai dirimu. Sayang seribu kali sayang. Saat dirimu mengejar kembali cinta yang kini hanya tinggal sisa di belakang, cinta yang sedang menanti di hadapan dirimu itu terlepas pandang. Mungkin yang dikejar itu bukanlah jodohmu. Maka, janganlah menutup mata dan hatimu untuk mendapat kesempatan mencari orang yang lebih baik. Percayalah ada hikmah disebalik pertemuan dan perpisahan. Semuanya sudah diaturkan dengan sebaik mungkin. Bukankah selepas turunnya hujan, akan hadirnya pelangi? Justeru, jangan kaburkan matamu dengan hujan yang turun sehingga tidak terlihat lagi pelangi yang mewarnai.

5. Jadi Lebih Kuat

Untuk menjadi seorang yang kuat itu adalah tidak senang dan untuk belajar menjadi kuat itu kita perlu merasakan erti ‘sakit’. Kenapa? Kerana selepas sembuh dari ‘kesakitan’ itulah kita sedar bahawa kekuatan itu ada. Ingatkah lagi sewaktu masih kanak-kanak, kita bermain lari-lari dengan gembira tanpa sedikit pun merisaukan risikonya. Bila sudah jatuh tersungkur dan terluka baru menangis. Lalu hari-hari berikutnya kita iri hati meliat teman lain bermain gembira sedangkan kita hanya mampu melihat kesan luka itu dan menyesal kerana terlalu lalai dan tidak berhati-hati. Walaupun begitu, setelah luka itu kering sudah tentu kita tidak ketinggalan untuk bermain dan bergembira lagi, bukan? Namun kali ini akan lebih berhati-hati daripada yang sebelumnya. Ya, kerana kita sudah merasakan sakitnya. Lalu bila sudah dewasa, cubalah lihat kembali parut luka tersebut nescaya dirimu akan tersenyum mengingatkan betapa kuatnya dirimu ketika itu. Oleh itu, belajarlah dari pengalamanmu untuk terus kuat. Jangan pernah mengalah dengan rasa sakit kerana sakit itu permulaan bagi setiap kekuatan.

Ironinya, kehidupan kita memang banyak kemungkinan-kemungkinan yang kita sendiri belum pasti. Namun, jika kita terus berpaut pada ranting yang rapuh, bukan sahaja tangan akan pedih terluka, malah akan lebih parah jika akhirnya ranting itu patah lalu kita jatuh dan tiada yang menyambutnya. Sakitnya sukar ditafsirkan, bukan? Oleh itu, beranikanlah diri untuk melangkah dan berpaut pada ranting yang baru yang lebih kukuh untuk dirimu terus maju ke hadapan!

Pengalaman mengajarkan kita erti kehidupan. Pernahkah anda lalui pengalaman yang sama? Berjayakah anda mengharunginya; atau masihkah anda dalam dilema? Kongsikanlah pengalaman anda di ruangan komen. Sharing is caring!

Suka apa yang anda baca? Temui lebih banyak artikel seperti itu di ZALORA Community!

--

--