Apa yang Anda Perlu Lakukan Jika Berbalah dengan Pasangan

Shesyira As
ZCOOP Malaysia
Published in
3 min readMar 23, 2017

Perbalahan sentiasa berlaku. Tidak kira dengan pasangan, keluarga atau rakan. Jika dengan pasangan terutamanya suami isteri, ada pepatah mengatakan sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Ada juga yang mengatakan pergaduhan boleh menjadi pengikat kasih. Namun sebagai langkah berjaga-jaga agar perbalahan tidak menjurus kearah yang lebih buruk, anda harus melakukan pekara di bawah ini.

  1. Jangan ceritakan perbalahan kepada orang lain

Jika anda berbalah dengan pasangan, cuba elakkan terus bercerita kepada rakan atau keluarga. Cuba selesaikan masalah tanpa melibatkan campur tangan orang lain yang boleh mempengaruhi tindakan anda. Mungkin campur tangan orang lain membawa kebaikan kepada hubungan anda dan pasangan tetapi ada juga yang membawa kepada perkara buruk. Selesaikan dahulu bersama pasangan dan jika masih tidak menjumpai penyelesaian baru mengambil nasihat atau cadangan dari orang lain. Pastikan anda bercerita kepada keluarga yang rapat atau rakan yang boleh dipercayai.

2. Fahami pasangan anda

Cuba fahami pasangan anda. Apa yang pasangan anda mahukan. Ini juga membolehkan anda mengetahui sebab perbalahan terjadi. Mungkin anda telah melakukan perkara yang tidak disukai oleh pasangan atau anda telah menyakiti hatinya. Amat penting untuk anda mengambil berat perasaan, emosi dan personaliti pasangan anda. Memahami pasangan mampu menjadi titik tolak kepada hubungan anda. Mungkin isteri anda sedikit emosi jika perbalahan berlaku atau mungkin juga suami anda sedikit keras dengan anda. Tetapi jika anda mengetahui karakter pasangan mungkin anda mengetahui cara untuk melembutkan hati pasangan.

3. Tolak ansur

Walaupun pasangan anda yang menyebabkan perbalahan tersebut berlaku tetapi apa salahnya jika anda mengambil jalan untuk bertolak ansur dahulu. Perbalahan memberikan kesan kepada kedua-dua belah pihak terutamanya dari segi emosi. Cuba fahami masalah yang berlaku dan berikan kata-kata yang positif kepada pasangan. Gunakan ayat yang lembut dengan perkataan manja. Bukan sahaja perempuan memerlukan ayat lembut tetapi lelaki juga. Perbalahan tidak akan selesai jika kedua-dua pihak menggunakan kekerasan.

4. Selesaikan secepat mungkin

Sangat penting untuk menyelesaikan perbalahan secepat mungkin demi hubungan anda. Perbalahan yang terlalu lama bukan sahaja menyakiti hati kedua-dua pihak bahkan juga merugikan. Kenapa perlu memanjangkan perbalahan jika anda boleh berkasih sayang?

5. Minta maaf

Perbalahan kadang-kadang berlaku disebabkan oleh salah faham. Walau siapa pun yang salah cuba ucapkan kata-kata maaf. Kadang-kadang itu boleh menjadi pelembut hati kepada orang yang sedang marah. Masalah juga boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak tenang dan boleh membuat keputusan dengan betul. Jika anda mengetahui masalah tersebut berpunca dari anda, cepat minta maaf kepada pasangan. Lakukan muhasabah diri agar anda tidak mengulangi kesilapan tersebut.

Anda dan pasangan juga harus melakukan refleksi diri selepas perbalahan diselesaikan. Anda mestilah memahami pasangan anda dan cuba ekspresikan apa yang anda inginkan dan sama-sama mengambil berat agar hubungan yang dibina kekal sampai bila-bila.

Anda ada tips untuk meredakan perbalahan dalam perhubungan? Kongsikan kepada kami di ruangan komen di bawah.

--

--