Belajar untuk Berhenti

SOFIEADIE
2 min readMay 3, 2016

--

Setiap hari kita terlalu sibuk mengejar segala-galanya sehingga kita lupa untuk memandang dan memikirkan tentang keadaan sekeliling kita. Kita lupa bagaimana cara untuk berhentikan diri kita dari belenggu kerja. Kadang kala kita perlu berhenti sejenak sebelum meneruskan perjalanan ke satu tahap yang lebih jauh dan tinggi. Jika mesin perlukan rehat untuk memastikan ia tidak ‘overheated’ inikan pulak manusia. Masa bila kita perlu belajar untuk berhenti?

Pertamanya, ketika membuat keputusan. Dalam hal memberi kata putus memang banyak kita perlu fikir dan fikir dan fikir lagi tanpa henti. Sehingga kita lupa untuk berfikir secara waras dan logik. Ketika ni berhentilah seketika. Pergilah berjumpa dengan rakan lama dan tanya pendapat mereka. Berhenti seketika dari kecelaruan fikiran. Bak kata filem ‘Terbaik Dari Langit’ adalah “bila ada tekanan, kita perlukan ruang”.

Yang keduanya, ketika kita menghadapi situasi yang sukar. Memang kita susah untuk berhenti lebih-lebih lagi pada saat genting. Misalnya ketika keluarga ditimpa musibah. Kita perlu berhenti dan cuba mencari ketenangan dengan memahatkan keyakinan yang lebih utuh kepada Dia. Kemudian, kita sematkan azam yang baru kepada ahli keluarga lain.

Seterusnya apabila ditinggalkan oleh seseorang yang kita sayang. Situasi ini amat penting untuk kita berhenti dari dunia yang selama ini telah mengaburi pandangan mata kita. Mungkin selama ini, semua layanannya terhadap kita hanya sebagai seorang kawan dan tidak lebih dari itu. Maka wajarlah untuk kita pergi merehatkan minda dan perasaan yang galau itu dengan pergi melancong atau pulang ke kampung halaman.

Keempat, apabila kita telah berusaha sehabis mungkin tapi masih tidak membuahkan hasil. Ketika ini kita perlu berhenti dan mencari alternatif lain untuk menggapai apa yang kita mahu. Adakan perbincangan secara terbuka bagi mencari idea. Untuk berjaya, kita harus bijak mengguna semua cara dan bukan hanya tertumpu pada satu jalan saja. Yang penting semua cara itu mestilah tidak merosakkan diri kita dan juga orang lain.

Banyak lagi situasi yang perlukan rehat yang pendek. Yang penting kita perlu tahu bila masanya kita patut berhenti dan bila waktunya kita harus teruskan berjalan. Pandang alam dan lihatlah sekeliling, dan tanya pada diri sendiri; ‘Inikah jalan cerita yang aku pilih?’. Jika tidak, maka anda perlu berhenti seketika.

Suka apa yang anda baca? Temui lebih banyak artikel seperti itu di ZALORA Community!

--

--