Tips Merealisasikan Perubahan Anda

SOFIEADIE
2 min readOct 4, 2016

--

Berubah itu mudah bagi mereka yang bersungguh ke arahnya. Mereka sudah miliki misi dan visi. Malangnya mereka tiada kekuatan dan keyakinan pada diri mereka sendiri. Ya, kekuatan dalam diri adalah elemen yang paling penting dalam setiap perubahan yang ingin dilaksanakan.

Jika anda termasuk dalam golongan yang ingin mengubah gaya hidup anda tetapi masih terselit keraguan dalam diri dan tiada keberanian untuk melakukan perubahan itu, berikut adalah langkah awal untuk anda tetapkan semula tekad untuk berubah.

1. Luahkan niat anda pada seseorang yang benar-benar dipercayai. Langkah ini sebagai sokongan untuk anda supaya setiap kali berasa putus asa, anda mempunyai teman yang akan selalu menyokong perubahan anda. Lebih-lebih lagi jika perubahan itu memberi impak yang positif kepada diri dan hidup anda.

2. Baca sebanyak mungkin buku motivasi dan tips yang berguna untuk perubahan anda. Kemudian, pilihlah panduan yang anda rasakan paling dekat dengan jiwa. Misalnya, jika anda ingin menjadi seorang yang berkeyakinan dan berketerampilan menarik, anda boleh mulakan dengan membaca majalah-majalah fesyen.

3. Elakkan bercakap tentang misi anda dengan orang yang akan memperlekehkan perubahan anda. Sebaiknya, luangkan waktu lapang dengan pelbagai aktiviti atau program yang akan menaikkan lagi semangat anda untuk berubah.

4. Mula membuat kajian tentang topik yang berkaitan dengan perubahan yang anda idamkan dan membuat senarai pendek tentangnya.

5. Elakkan mengambil jalan pintas untuk mencapai impian anda. Misalnya, jika anda ingin memiliki tubuh yang cantik, seharusnya anda mengambil kira dari pelbagai sudut. Ini termasuk kewangan, kesihatan dan kesan yang akan berlaku jika anda menggunakan jalan pintas tersebut. Anda juga haruslah ingat yang tiada jalan singkat untuk semua perubahan.

6. Yang paling utama adalah, yakin pada diri sendiri! Tanpa keyakinan anda akan mudah goyah dan segala perubahan yang diidamkan akan terbantut ditengah jalan dan segala yang anda usahakan hanyalah sia-sia.

Minda adalah kunci kekuatan dalam diri seseorang yang inginkan perubahan. Maka, jika anda ingin berubah dalam sesuatu untuk menaikkan taraf diri anda dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran ini, pertamanya anda haruslah memotivasikan minda terlebih dahulu. Jika anda masih ragu-ragu, tiba masanya, anda mencari penasihat peribadi.

Adakah anda mempunyai tips lain yang boleh dikongsi bersama ? Tinggalkan idea anda di ruangan komen di bawah.

Suka apa yang anda baca? Temui lebih banyak artikel seperti itu di ZALORA Community!

--

--